Ubat saya sudah pergi
ASSALAMUALAIKUM! Paknil yakin pasti ramai tahu apa yang ingin Paknil borakkan dalam ruangan minggu ini kalau bukan cerita mengenai Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi.Paknil percaya ramai rakyat Malaysia merasa kehilangan pelawak serba hebat dan penyampai radio yang ligat setiap pagi bersama Paknil di Riuh Pagi Era.
Kita akan merindui lawak merapu dan gila-gilanya sebab bagi Paknil, Din seorang saja yang boleh melakukan itu.
Setiap pagi Isnin hingga Jumaat, Paknil pasti berderai tawa terbahak-bahak sebab Din Beramboi membuat lawak yang terbit secara spontan dan luhur dari hatinya.
Bila itu terjadi, Din Beramboi akan berlawak dengan gaya sekali sedangkan kami hanya di radio! Siapa yang nampak gerak gaya Din bila lawaknya ke udara, tetapi itulah Din Beramboi. Dia memang bersungguh-sungguh bila melakukan kerja yang digemarinya.
Din, siap nak bawa sarapan?
Din sering bertanya sama ada Paknil akan berpuasa pada keesokan harinya kerana dia sentiasa nak bawa sarapan pagi untuk Paknil. Bila Paknil tak puasa, pasti ada satu bekas penuh kuih lopes yang dibawanya dari rumah.
Dia cakap, orang tua macam Paknil memang suka makan kuih ‘old school’! Dia kata orang muda macam dia cuma makan sandwich dan chicken pie!
Paknil sering usik Din dengan perkataan ‘Cur Cur Mak’. Kalau nak tahu, sebelum masuk konti radio awal pagi, selalunya Din kata, dia tak mahu sarapan sangat sebab nak diet tapi Paknil kata: “Sudahlah! Mesti dah Cur Cur Mak sebelum ini.”
Din sebenarnya mesti singgah di kedai mamak berdekatan Astro sebelum mulakan pagi untuk makan. Cur Cur Mak tu maknanya Curi Curi Makan!
Din, kenapa biar aku buat kerja seorang sekarang?
Pernah ada satu ketika Din terlewat ke konti radio sebab terlewat bangun. Bayangkan dia pecut kereta dari rumahnya di Rawang ke Astro dan sempat juga mendengar Paknil ke udara seorang diri di Riuh Pagi Era.
Sampai di studio, dia tahu Paknil bengang ketika itu tapi dia cakap dia sedih bila dengar Paknil kerja ‘sorang’ sebab dia kata macam tak meriah di udara. Jadi dia minta maaf sangat sebab terlewat dan berjanji untuk tidak lewat lagi selepas itu.
Sememangnya Din tidak pernah lewat lagi, malah kerap pula dia tiba lebih awal daripada Paknil.
Din, sekarang kau dah tak ada. Kalau kau dengar aku sorang-sorang di radio mungkin dah tak meriah kan? Aku pun tak tahu sama ada aku nak teruskan atau tidak kerja ini.
Bayangan kau terlalu kuat di sebelah aku, jadi aku rasa seperti tidak akan dapat bangun seperti dulu lagi!
Din, pilih tempatlah untuk melawak!
Sebagai abang, Paknil pernah juga menegur perangai Din yang suka melawak tidak bertempat. Pernah ketika Paknil mengendalikan segmen Merisik Khabar, Paknil tersentuh dengan cerita pemanggil sehingga menitiskan air mata.
Din yang ada di depan Paknil ketika itu ketawa melihat Paknil yang tersedu-sedu. Hangat juga hati ketika itu apabila Din cuba membuat lawak, sedangkan kami berbual mengenai sesuatu yang menyayat hati.
Paknil tegur dia: “Din, kau boleh tak pilih masa dan tempat untuk berlawak?” Jawapan Din benar-benar menginsafkan Paknil. Katanya: “Kalau menangis boleh selesaikan masalah orang itu, dia pun akan menangis sekali. Muka sedih dan menangis bukan boleh selesaikan masalah.”
Din memang ingin jadi ubat kepada wajah sedih orang. Dia nak orang senyum gembira saja. Dia memang akan memanggil Paknil sebagai orang yang cengeng dan sebab itu dalam Raja Lawak ada ketika dia tegur Bob Lokman yang berair mata ketawa sama seperti buruknya Paknil menangis.
Sekarang dia pasti nampak betapa buruknya muka Paknil menangisi pemergiannya.
Din, kau nak cuti panjang kan?
Sememang Paknil kena ambil cuti panjang dalam minggu ini untuk menyempurnakan rakaman Jangan Lupa Lirik. Din Beramboi adalah orang yang sangat suka bila Paknil minta cuti daripada Era kerana dia tahu kalau Paknil cuti, dia pasti cuti juga.
Dia cakap: “Aku untung tak payah pergi mengadap minta cuti sebab kau yang pergi mengadap. Bila kau cuti, aku pun cuti jugak.”
Paling akan Paknil ingat apabila Din akan ‘countdown’ kiraan hari menjelang tarikh kami bercuti setiap hari tanpa gagal. Sekarang kau pula yang cuti panjang.
Din Mr Sengal?
Din suka juga bagi gelaran pada kami di Era. Macam-macam nama yang dia cipta untuk orang yang dia usik.
Penerbit Riuh Pagi Era, Azizan dipanggilnya KURUS atau kadangkala dipanggil KURSUS. Ada yang digelar Ciputlah, Bruce Leelah, Dharmalah, Pen Drivelah dan macam-macam lagi.
Gelaran itu semua muncul secara spontan dan Din juga biasanya memanggil orang itu secara depan-depan. Mereka yang dipanggil itu pula tidak ambil hati kerana faham sangat perangainya.
Tiba-tiba masa Paknil bekerja sendiri ketika Din tenat, Paknil terima panggilan daripada pendengar Era yang menggelarkan Din sebagai Mr Sengal.
Katanya: “Bangunlah Mr Sengal ku. Pagi ku tidak sama lagi tanpa kehadiran Mr Sengal yang selalu buat lawak sengal! Bangunlah please…!” Kini Mr Sengal dah jadi Mr Senyap.
Suka hantar SMS yang mengarut
Paknil memang tidak suka ber‘SMS’ dengan Din sebab dia suka hantar SMS yang entah apa-apa. Pernah Paknil hantar SMS kepada Din tanya kenapa dia nak Alex Raja Lawak gantikan dia bila dia tidak ada di Era lagi? Din jawab: “Sebab dia tak tahu nak komen apa untuk Alex yang memang best!”
Baru-baru ini masa dia sakit, Paknil ada hantar SMS pada Din. Paknil cakap: “Din, cepatlah baik demam. Tak bestlah buat kerja sorang-sorang.”
Nak tahu apa yang Din jawab pada Paknil?
“Bukan sakit tapi rasa nak mati. Semua dah rasa kebas. Tu tanda-tanda nak mati lah.”
Din, aku rindukan engkau
Mungkin ini tidak pernah Paknil ucapkan pada Din sebab memang tak pernah rindukan dia, tapi kini setelah Din tiada, baru Paknil seperti terdengar bunyi ketawanya, bunyi batuknya, bunyi dengkurnya (kadangkala dia terlelap juga dalam konti... hehehe).
Paknil pun tak tahu apa makna Riuh Pagi di Era lagi sebab Paknil tidak pasti sama ada akan adakah lagi riuh itu apabila Din sudah tiada. Paknil tidak akan mampu menjalani tugas di konti sebab di setiap sudut Paknil akan terbayang kehadiran Din Beramboi.
Din, kau pergi tanpa beri amaran. Habis senyum dan tawa aku kau bawa sekali. Kini aku masih mencari orang yang boleh kembalikan senyum dan ketawa itu.
I MISS YOU MY BRO!
Wassalam.
kawan-kawan..
luahan hati paknil aku dapat dari metro ahad...
sekadar berkongsi luahan beliau dengan pembaca-baca blog ini..
edzlin,
akak pasti adik akan singgah blog akak...
dan akak juga pasti adik dah baca luahan paknil ini...
dan akak juga sangat pasti adik adalah antara org2 yang faham apa yang kita semua rasai sekrg nie kan...
setiap kali baca luahan paknil nie, airmata takkan berhenti mengalir...
masa konsert AF yang lepas, masa tunjuk clip khas untuk din beramboi,aku tetap menangis...
malam nie, di ABPBH, pasti airmata akan mengalir lagie...
penatlah menangis, tapi takleh tak menangis...
sebab pemergian Din Beramboi sangat dirasakan...
terlalu cepat, terlalu mengejut...tetibe rasa keriuhan pagi tidak sama...
buat PAKNIL...
tabahkan semangatmu...
kuatkan dirimu...
saya dapat rasakan semangat paknil dibawa pergi sebahagiannya...
paknil cuba sedaya-upaya menenangkan diri dan meneruskan juga tugas sebagai pengkritik AF...
nampak seperti paknil sangat tenang...tapi, perasaan di dalam hati paknil hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui...
nasib baik Anum peserta AF8 tu sedikit sebanyak menghiburkan juga...:)
PAKNIL...
saya tahu dan memahami apa yang paknil alami sekrg nie...
tapi, paknil kena kuat ya...
teruskan hidup...
sebab arwah Din Beramboi pasti mahukan paknil teruskan kehidupan paknil, jangan berhenti dan putus asa atas apa jua yang paknil lakukan...
kami semua sayangkan PakNil dan juga allahyarham Din Beramboi...
kami dah kehilangan Din Beramboi...
jadi, kami tidak mahu kehilangan Aznil Hj Nawawi...